Mengikut cerita orang-orang yang terdahulu, iaitu lebih kurang pada kurun ke sembilan belas di atas tapak masjid asal itu terdapatnya sebuah bukit kecil seperti busut menyerupai bentuk sebuah khubah masjid. Pada mulanya, penduduk kampung yang tinggal berhampiran tidak memberikan perhatian sangat terhadap busut tersebut.
Sehinggalah seorang yang dianggap wara’ dalam kampung tersebut telah bermimpi yang mana di dalam tidurnya dia didatangi oleh satu lembaga dan ianya mengsyorkan dibina sebuah masjid di situ. Setelah mengamati mimpinya itu, maka beliau berbincanglah bersama-sama dengan orang-orang kampung mengenai mimpi itu. Akhirnya tercapailah kata sepakat membina sebuah masjid di situ.
Oleh kerana batu bata belum ada lagi pada zaman itu, maka bak kata pepatah; bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dengan berbekalkan taqwa serta semangat gotong-royong, kemasyarakatan dan setiakawan yang tebal dan jitu, akhirnya terbinalah sebuah masjid dari tanah liat sepenuhnya. Entah bagaimana bentuk dan saiznya tidaklah diketahui.
Sempena peristiwa itu, kampung ini yang asalnya dipanggil Kampung Sungai Baru ditukar kepada Kampung Masjid Tanah mengambil sempena masjid asal dan yang pertama dibina di kampung ini, hatta di daerah ini dengan tanah sepenuhnya.
Masjid asal yang masih wujud lagi sekarang mungkin bukan masjid yang asal kerana ada persamaan dari segi rekabentuk dengan masjid-masjid lain yang dibina dalam satu era tertentu. Bagaimanapun ia menjadi salah satu bangunan bersejarah dikampung ini. Di sebalik lagendanya, masjid asal ini meninggalkan banyak nostalgia kepada generasi pertama dan kedua kita yang masih hidup lagi sehingga kini.
Berbalik kita kepada Masjid Jamek Putra, perkataan “putra” pada nama masjid ini adalah mengambil sempena nama bapa kemerdekaan negara kita Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Masjid Jamek Putra, Masjid Tanah yang ada sekarang merupakan masjid yang dibina bagi menggantikan masjid asal. Masjid yang asal letaknya di tepi sungai berhampiran dengan jambatan yang menghubungkan jalan ke arah Kampung Air Limau. Masjid asal sudah terlalu lama usianya dan tidak dapat menampung kapasiti jemaah yang kian bertambah setiap tahun.
Tapak masjid ini asalnya adalah tanah sawah tetapi telah diwakafkan oleh tuan-tuan punya: Allah Yarhamah-Allah Yarhamah Hajah Lamah Binti Mat, Hajah Mani Binti Sidin dan Hajah Amah Binti Che’ Mat.
Alamat Masjid
Masjid Jamek Putera,
Km.28.8 Masjid Tanah,
78300 Masjid Tanah,
Melaka.
Tel: 06-3842746
Dipetik dari blog parlimen masjid tanah